Thursday, 29 September 2011

Akidah Membina Kualiti Seorang Muslim



AKIDAH MEMBINA KUALITI SEORANG MUSLIM

ISLAM FUNDAMENTALS
(CTU 101)
 
HAK MILIK: NURUL AISYAH YAP





PENGENALAN
Dengan nama Allah, Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah, berilah segala pujianmu kepada kekasihmu, Nabi Muhammad. Ya Allah, berikanlah pujianmu kepada ahli keluarga Nabi Muhammad, para sabahatnya dan pengikut sunnahnya sehingga Hari Kiamat.
            Pada masa kini, umat Islam menghadapi perkembangan yang pesat, cabaran moden dan bergelut dengan pelbagai ideologi moden. Umat Islam sendiri berhadapan dengan cabaran akidah dan iman. Janji Allah kepada penganutnya adalah ujian demi ujian untuk mengukur keimanan setiap dari mereka di samping amanah manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Semoga dalam pergelutan tersebut, lenyaplah segala yang batil, sehingga kita, umat Islam dapat mewarisi yang hak daripada Allah. Pertarungan antara Iman dan kufur, hak dan batil adalah pertarungan yang berterusan, tanpa mengira zaman. Dan sesiapa yang menentang, mereka mempunyai peluang yang banyak supaya sedar dan insaf.
            Zaman Jahiliah yang mengamalkan pemujaan patung dan berhala, menyembah syaitan dan jin yang dipuja sudah banyak penjelasan bagi memahaminya, namun masih ramai lagi manusia yang masih kufur dan ingkar dan masih ramai lagi yang mengamlakn pemujaan bersifat jahil itu. Ideologi-ideologi moden, teori-teori dan falsafah-falsafah moden kini hanya memuja kebendaan. Manusia memujanya sebagai patung bentuk baru dan mengubahnya dengan nama pesta-pesta. Contohnya seperti sambutan Hari Kekasih yang rata-ratanya disambut di seluruh dunia oleh pasangan kekasih. Semua ini mengelirukan banyak orang yang mengaku Islam, terutamanya generasi muda yang terikut-ikut dengan ajakan rakan-rakan, pasti lebih mudah terjebak dalam sambutan pesta-pesta sedemikian. Gejala ajaran menyeleweng, fenomena murtad dan masalah sosial semakin membarah dalam masyarakat Islam. Semuanya berpunca daripada ketipisan akidah dan fahaman Islam umat Islam itu sendiri. Begitu juga kefahaman umat Islam yang silap pada konsep ibadat dalam Islam, di samping kurangnya perhiasan keterampilan akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Tanpa disedari atau memang disedari, manusia bertindak ke peringkat melampaui batas-batas iman dan tauhid, lantas terjerumus ke dalam batas-batas kufur, syirik dan nifaq.
            Akidah yang benar, ibadat yang betul dan akhlak yang baik dapat menyelamatkan Muslim daripada kancah kesesatan dan kemelut sosial. Apabila segala-galanya berpunca daripada iman, akidah menjadi asasnya. Oleh itu, adalah amat penting iman dan akidah itu benar-benar kita pelajari, fahami, hayati dan praktikkan ajaran Islam demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amal dan sumbangan  yang dibina bersama iman, menjadi pembela sebenar seseorang insan di hadapan Qadi Rabbul Jalil. Namun, pada zaman pemodenan ini, apa yang membimbangkan sebahagian besar umat Islam bukannya tingkatan akidah. Kebanyakannya membimbangkan nasib anak bangsa dan anak cucu akan menjadi miskin harta dan tanah. Tidak ramai dari golongan umat Islam yang mempertikaikan kemiskinan iman dan jiwa anak bangsa. Sepatutnya kita yang hidup di akhir zaman ini lebih membimbangkan keutuhan akidah anak-anak bangsa, insaf dan sedar tentang kepentingan  akidah dalam menentukan nasib dan maruah bangsa. Memang tidak menghairankan lagi apabila rusuhan dan perang saudara zaman moden ini berlaku di merata-merata dunia, bukan sahaja negara yang dikuasai oleh kafir, tetapi juga negara Islam itu sendiri. Hal ini berlaku bukan hasil sogokan kuasa kafir, tetapi ketipisan iman mukmin dalam masyarakat tersebut. Jika diikutkan adat Islam, adalah dianjurkan supaya umat Islam menegur pemimpin dengan cara baik, supaya boleh membawa perubahan yang berguna kepada negara dan bangsa. Tindakan berperang sesama sendiri dan rusuhan menunjukkan begitu rendahnya martabat sesuatu bangsa, begitu tipisnya kesabaran umat, begitu sedikitnya iman  yang ada di dada, sehingga ajaran agama boleh diketepikan demi perjuangan tanah dan bermegah-megah.
Sebelum menjelaskan lebih lanjut mengenai rukun iman dan kepentingan akidah dalam membina kualiti hidup seorang muslim, adalah baik dijelaskan dahulu apakah itu Islam dan pengertiannya. Kerana asalnya akidah adalah Islam. Tuntutan Islam pula adalah akidah yang sempurna agar terbela hidup seorang mukmin itu di dunia dan di akhirat.


APAKAH ITU ISLAM?
Allah itu Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Manusia diciptakan oleh Allah dan ditugaskan untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini dengan segala kelayakan yang ada pada mereka. Manusia dijadikan khalifah bagi memikul amanah di muka bumi yang menjadi tanda kebesaran Allah. Namun, manusia perlu dibimbing sama ada bagi dirinya ataupun peranannya yang besar itu. Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak membiarkan manusia begitu sahaja, Allah telah menurunkan para nabi bagi mengajak manusia dan juga menjadi pemimpin bagi membimbing mereka ke arah kebenaran, bermula daripada Nabi Adam dan keturunnya yang pertama. Seterusnya diteruskan oleh nabi-nabi yang lain sehingga Nabi Muhammad, nabi akhir zaman.
 Islam dibawa oleh rasul-rasul bagi menyelamatkan manusia supaya tidak terpesong daripada jalannya yang sebenar seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 213,


Maksudnya: “ Manusia itu adalah umat yang satu (selepas timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab suci yang benar, bagi memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitan itu melainkan orang yang didatangkan kepada mereka kitab, iaitu sele[as didatangkan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memimpin orang-orang yang beriman kepada kebenaran yang mereka perselisihkan itu dengan kehendaknya dan Allah selalu memberi petunjuak kepada orang-orang yang dikehendakinya ke jalan yang lurus.” 
Ayat tersebut menyatakan manusia pada asalnya mengikut petunjuk agama sebenar. Mereka bertelingkah lalu melakukan kejahatan di bumi dengan menentang jalan yang sebenar. Ada di antara mereka mencipta jalan sendiri. Kekufuran dan tipu daya syaitan menyebabkan mereka lupa atau sengaja melupakan jalan Allah. Maka Allah melahirkan para nabi supaya mengembalikan mereka ke jalan yang benar di samping memberi khabar gembira dan peringatan.
Islam adalah ajaran yang menyatakan berkaitan hubungan antara manusia dengan kuasa ghaib.  Dijelaskan melalui firman Allah dalan Surah al-Nahl, ayat 89, yang bermaksud “Dan kami turunkan kepadamu al-Quran bagi menerang segala-galanya dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang Muslimin.”
Islam adalah agama yang serba lengkap. Islam adalah penghayatan yang sebenar bagi manusia. Islam juga adalah cahaya petunjuk dalam kehidupan bagi memperbaiki masyarakat. Islam ialah jalan yang benar yang tidak mungkin sesat kepada sesiapa yang melaluinya. Islam merangkumi pelbagai aspek hidup iaitu aspek akidah, syariah dan akhlak. Rasulullah menerima daripada Allah satu panduan lengkap melalui al-Quran sebagai sumber rujukan utama Islam. Kemudian, Rasulullah diperintah menyampaikan dan mempraktikkan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran kepada seluruh manusia. Akhirnya, Islam diwarisi secara turun-temurun daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain.
Islam adalah ajaran yang memliliki unsur kekuatannya yang tersendiri. Islam unik dari sudut akidah, ibadat dan jyga akhlak di samping bersifat terbuka keapda seluruh manusia. Islam bukan agama yang khusus kepada orang Arab sahaja atau agama kepada bangsa tertenu, atau kasta-kasta tertentu. Sebaliknya, Islam adalah agama sejagat tanpa mengira kaum dan warna kulit pada sepanjang zaman. Seperti firman Allah yang bermaksud: “ Dan tiadalah kamu mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba’, ayat 28).
Islam bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah serta mentaatinya. Islam lahir daripada kesedaran dengan tidak dipaksa. Ketundukan seperti itu tanpa perhitungan pahala dan dosa. Seperti firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 83, yang bermaksud, “Apakah mereka mencari agama yang lain selain daripada agama Allah padahal kepadanya menyerah diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan keapda Allah mereka dikembalikan.” Tanda dan bukti ketundukan kepada Allah adalah dengan redhanya menerima agamanya, diiringi dengan kesedaran.
Islam adalah peraturan dan perundangan yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Ia menjadi dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh Nabi Muhammad daripada Allah. Islam juga menjelaskan berkenaan dosa dan pahala.
Islah ialah satu kumpulan peraturan yang diturunkan oleh Allah kepada rasulnya, Nabi Muhamamd. Islam terdiri daripada peraturan-peraturan yang berbentuk akidah, akhlak dan muamalat. Segala berita yang disebut dalam al-Quran dan sunnah diperintahkan oleh Allah supaya disampaikan kepada manusia. Allah menjelaskan dalam Surah al-Maidah, ayat 67, maksudnya: “Wahai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamy daripada Tuhanmu dan jika kamu tidak kerjakan (apa yang diperintahkan itu), bererti kamu tidak menyampaikan risahal Allah dan Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia.”
Islam ialah keseluruhan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Di dalamnya terkandung perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah, amalan dan hukum yang disertai dengan kepatuhan secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan. Allah menerangkan dalam Surah al-Baqarah, ayat 112, yang maksudnya: “Bahkan sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah sedangkan dia berlaku baik, maka baginya ganjaran di sisi Tuhannya dan tidak ada takut bagi mereka dan mereka tidak juga berdukacita.”
Islam bermakna menyerah diri secara zahir, sekalipun tidak ada iman di dalam hati. Islam seperti ini tidak memberi apa-apa faedah kepada penganutnya. Firman Allah yang bermaksud “Orang-orang Arab Badwi berkata, ‘Kami sudah beriman.’ Katakanlah kepada mereka, ‘Kamu belum beriman, tetapi katakanlah, ‘Kami sudah Islam’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hati-hati kamu.”
Islam adalah jawapan yang tepat kepada 3 persoalan utama setiap manuisa, iaitu:
“Dari mana datangnya manusia?”,pertanyaan ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Haj, ayat 5, : “Wahai manusia, jika kamu ragu tentang kebangkitan pada hari kiamat, maka (ketahuilah) sesungguhnya kami menjadikan kamu daripada tanah, kemudia dariapda setitik mani, kemudian dariapda seketul darah, kemudian daripada segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan tidak sempurna kejadiannya supaya kami terangkan keapda kamu (kekuasaan kami) dan kami letakkan di tempat peranakan (di dalam rahim) apa yang kami kehendaki hingga satu masa tertentu, kemudian kami keluarkan kamu sebagai anak, kemudian (kami pelihara) hingga kamu sampai tegap tegah dan antara kamu ada yang diwafatkan dan sebahagian daripada kamu dikembalikan kepada usia yang paling lanjut supaya ia tidak tahu apa-apa lagi sesudah tahu.”
“Menagapakah manusia dijadi / diciptakan?”, telah diterangkan dalam Surah al-Zariyat, ayat 56, yang bermaksud “Dan aku tidak jadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaku.”
“Ke manakah akan manusia dikembalikan?” diterangkan dalam Surah al-Insyiqaq, ayat 6, firman Allah yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya kamu sudah bekerja dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuinya.”
Ingin bertanya kepada para saudara Muslim dan bukan Muslim, apakah kejadian manusia dicatit sebegini lengkap dan dijelaskan sebegini terperinci di dalam mana-mana kitab yang dipercayai lebih agong daripada al-Quran? Saya sendiri telah menggunakan masa bertahun-tahun untuk bergelut dalam agama yang dianuti sejak lahiriah, Buddha, untuk mencari jawapan kejadian saya, mengapakah saya berada di bumi ini, apakah tanah merah destinasi akhir setelah jasad ini reput? Atau akan saya bertemu dengan kuasa sebenar Pencipta saya. Apakah yang akan saya jawab kepadaNya padahal saya tidak mengenali kuasaNya dan tujuanNya mencipta saya di bumi ini. Bukan ibu, bukan ayah yang menjadikan kejadian saya, pasti ada suatu kuasa yang lebih besar, kuasa yang menciptakan segala kejadian alam ini. Kuasa yang memberi akal dan roh kepada jasad saya yang kosong ini untuk mencari jawapan. Bukan dalam kitab Buddha yang menyembah patung untuk mendapatkan perlindungan, tidak ada dicatatkan bagaimana manusia dijadikan dan dari mana manusia dijadikan. Bukan juga dalam kitab Injil yang telah dimanupulasi oleh pihak-pihak yang tertentu sehingga ajaran yang sebenarnya dibawa oleh Nabi Isa telah dipesongkan. Tiada dijelaskan dalam Kitab Injil tersebut  dari mana datangnya manusia. Apakah kuasa yang mencipta manusia. Tidak juga boleh dijelaskan dari mana datangnya Nabi Isa. Syukur alhamdulillah, sebelum hembusan terakhir, akhirnya Allah memberi petunjuk dan jawapan dijumpai dalam al-Quran, utusan yang suci dalam memberi petunjuk kepada manusia.
Sebenarnya, manusia adalah sama daripada segi asal usul kejadiannya. Dasar Islam tidak mengenal bangsa, warna kulit, kaun, puak atau negeri. Islam bukan agama untuk orang Arab sahaja, bukan juga ditetapkan bagi orang Melayu semata-mata. Allah menciptakan kita dalam pelbagai bangsa, kaum, puak, warna kulit, adalah supaya manusia saling menganali, tolong menolong antara satu sama lain, mencari kesepakatan. Kerana Islam menyeru manusia ke arah dasar persamaan daripada segi kemanusiaan. Cuma ada satu kaedah sahaja yang boleh membezakan antara seorang individu dengan yang lain, iaitu ‘istiqamah’ dalam hidup dan berusaha dalam mencari keredhaan Alllah s.w.t. Perkara yang membezakan adalah iman yang bersemai dalam jiwa seseorang insan dan amal soleh yang dizahirkan melalui anggota tubuh. Allah berfirman, maksudnya : “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kami daripada berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (tentang keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)


DEFINISI AKIDAH
Akidah merupakan tunggak utama yang menjadi dasar kepada kelangsungan ummah. Kemajuan dan pembangunan umat Islam bergantung pada akidah ang tulen dan fikiran yang sejahtera. Allah telah mengutusakan para nabi dan rasul bagi menyeru manusia ke arah pembinaan, pengukuhan serta pemulihan akidah. Setiap nabi dan rasul yang diutuskan menyeru kaumnya sengan ucapan sebagaimana firman Allah: “Wahai kaumku, sembahlah Allah! Tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadanya.” (Surah al-A’raf, ayat 59) . Allah berfirman lagi dalam Surah al-Nahl, ayat 36, yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami mengutus daripada kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya) menyeru mereka: “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah kesesatan.” Berdasarkan ayat-ayat tersebut, adalah jelas Allah mencipta makhluk supaya mereka menyembahNya semata-mata dan tidak menyekutukanNya sebagaimana yang dijelaskanNya dalam Surah al-Zariyat, ayat 56, yang bermaksud : “Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat keapdaKu.”
Akidah dari segi bahasa bererti simpulan iman ataupun pegangan yang kuat atau satu keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat. Akidah dari sudut istilah ialah kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamad tidak bercampur dengan syak atau keraguan pada seseorang yang berakidah sama ada akidah yang betul atau sebaliknya. Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai rabb dan ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sufat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan taqdir Allah sama ada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang datang dari Allah. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Oleh itu, akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul dan dilaksanakan dalam kehiduapan.
            Akidah merupakan ilmu yang berkaitan dengan keyakinan terhadap Allah s.w.t dan sifat-sifatNya. Setiap individu, sama ada umat Islam ataupun sebaliknya, wajib mengetahui, mempelajari dan mendalami ilmu akidah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang membawa kepada penyelewengan akidah kepada Allah s.w.t.. Akidah adalah berdasarkan pada al-Quran dan As-Sunnah.
            Secara umumnya, ilmu akidah boleh dibahagikan kepada 5. Iaitu: Yang pertama, Ilmu Tauhid, menerangkan sifat Allah s.w.t. yang wajib bagi setiap umat Islam untuk ketahui dan percayai; yang keduanya, Ilmu Usuluddin, ialah ilmu tentang kepercayaan dalam agama Islam, iaitu selain kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa, juga kepercayaan kepada pesuruhNya; yang ketiga, iaitu Ilmu Makrifat, ilmu ini membahaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan cara-cara mengenal Allah s.w.t.; seterusnya Ilmu Kalam pula ialah ilmu yang membahas tentang akidah dengan dalil-dalil aqliah (ilmiah) sebagai perisai terhadap segala tentangan daripada pihak lawan; yang kelima, Ilmu Akidah, yang merupakan ilmu yang mengetengahkan perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah s.w.t..
           

ASAS-ASAS AKIDAH ISLAM
Dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Jibril telah berkata kepada Rasulullah, kamu terang kepadaku mengenai iman maka jawab Rasulullah, iman itu ialah bahawa kamu beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada baik atau buruk adalah semua daripada Allah s.w.t., maka Jibril pun berkata kamu telah berkata benar.” Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, dari Umar Ibni Al-Khattab r.a.
      Dari ayat Al-Quran dan hadith dapatlah disimpulkan bahawa iman itu ialah 6 perkara iaitu:
1)      Beriman kepada Allah
2)      Beriman kepada Malaikat
3)      Beriman kepada kitab-kitab Allah
4)      Beriman kepada Rasul
5)      Beriman kepada Hari Kiamat
6)      Beriman kepada Qada’ dan Qadar
Akidah adalah tunjang kepada segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara yang merosakkan. Jika akidah dan amalan seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia belaka, manakala di akhirat kelak, akan dimasukkan ke dalam api neraka kerana kekufurannya itu.



Beriman Kepada Allah s.w.t.
“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah s.w.t. dari apa yang mereka persekutukan.” (At-Taubah, ayat 31) Allah s.w.t menegaskan dalam ayat tersebut bahawa tidak ada yang layak dan berhak disembah oleh makhluk-makhluk ciptaanNya selain Dia Maha Berkah dan Maha Tinggi.
Beriman kepada Allah merupakan rukun utama dalam Rukun Iman. Setiap mukmin yang mengaku sebagai Islam dengan lidahnya melalui dua kalimah syahdah seharusnya mengenali Allah sebagai petunjuk ke arah keyakinan yang jitu dan iman yang teguh. Malah dengan beriman kepada Allah juga merupakan ‘tiket’ persediaan seseorang muslim itu untuk meraih mahabbah Allah. Beriman kepada Allah s.w.t. bermakna mengetahui, percaya dan beriktikad dengan perkara-perkara yang wajib, perkara-perkara mustahil dan perkara yang harus bagi Allah Ta’ala. Adalah wajib bagi setiap umat Islam untuk membenarkan dengan yakin akan adanya Allah selain membenarkan dengan yakin akan kebesaran atau keEsaan Allah, baik dalam perbuatanNya menjadikan alam dan makhluk seluruhnya ataupun dalam menerima ibadat setiap makhluk. Selain itu, kita juga haruslah membernarkan dengan yakin bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, suci dari segala kekurangan dan suci juga dari menyerupai segala yang baharu.
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 21) Ayat tersebut telah menerangkan kepada sekalian manusia bahawa Allah itu adalah pencipta setiap benda yang ada di alam ini termasuklah bumi, langit dan planet-planet yang lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah ciptaan dan milik Allah.
Mengapakah rukun ini penting dalam menentukan akidah seorang muslim?
Percaya, yakin dan beriman kepada Allah adalah tunjang kepada keimanan dan rukun-rukun iman yang lain, dan hanya dengan percaya, yakin dan beriman kepada Allah lah maka wujudnya Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyyah Allah s.w.t. Tauhid Rububiyah bermaksud hanya Allah sahaja sebagai Rabb (pencipta, pemilik, pemerintah, pemberi rezeki dan seumpamanya). Tidak boleh dianggap, dijadikan dengan sesuatu atau dirasakan yang lain sebagai rabb atau bersama-sama Allah menjadi Rabb. Tauhid Uluhiyyah bermaksud umat Islam yang beriman dengan keimanan yang sebenar, mereka hanya mengambil Allah sebagai Ilah. Mereka tidak meletakkan Allah bersama-sama yang lain sebagai Ilah. Allah sahaja sebagai pujaan dan sembahan mereka yang beriman. Maksud Ilah di sini adalah sesuatu yang disembah atau dipuja.
Dengan beriman kepada Allah s.w.t bermaksud umat Islam itu harus mempelajari dan memahami ajaran Allah. Selain itu, umah Islam juga sepatutnya mempelajari dan memahami segala yang datang daripada Allah melalui RasulNya sama ada al-Quran atau as-Sunnah. Beriman kepada Allah bukan sahaja perlu percaya kepada kewujudan Allah tetapi termasuk jugalah segala apa yang datang daripada Allah s.w.t. , samada rezeki yang melimpah ruah, ataupun penyakit dan musibah yang menguji kesabaran dan keimanan kita. Setiap umat Islam bukan sahaja harus yakin tetapi juga harus melaksanakan petunjuk Allah s.w.t. Yakin dengan kebenaran, kesempurnaan Islam sebagai satu Din yang shamil dan kamil serta terbaik untuk manusia sejagat.
Ketika Allah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia, diturunkan al-Quran berserta dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Permulaan atau awal dari pembacaan al-Quran itu umat-umat Islam mulakan dengan nama Allah s.w.t.
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan.” (Al-Alaq, ayat 1)
Bukan membaca al-Quran sahaja seseorang itu harus memulakannya dengan menyebutkan nama Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi, malah kita dituntut untuk memulakan segala perkerjaan dengan nema Allah s.w.t. kerana kita haruslah menghargai pemberian dan anugerah Allah di alam semesta, dan menagungkan Allah yang menjadikan sesuatu.
Apakah pula dengan beriman kepada Allah boleh meningkatkan kualiti seorang muslim? Sesungguhnya orang yang sentiasa beriman kepada Allah, mengingati Allah dan jika seseorang itu memulakan sesuatu pekerjaan dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, maka seseorang itu telah menjadikan Allah s.w.t berada di pihaknya menolongnya. Manakala bagi mereka yang lupa, tidak beriman kepada Allah s.w.t. dan tidak memlakan pekerjaan dengan nama Allah s.ww.t, mereka hanya menginginkan balasan material sahaja.
Seorang mukmin yang beriman kepada Allah s.w.t. dan memuji Allah s.w.t. di atas nikmat yang diberikanNya di dunia ini, kemudian memuji Allah s.w.t. ketika Allah menyelamatkannya dari api neraka yang seksa kemudia memasukkannya ke dalam syurga di akhirat. Oleh keranan itu, milik Allah-lah segala pujian di dunia dan akhirat.
Praktikal seseorang itu beriman kepada Allah boleh ditonjolkan dengan menyebut nama Allah s.w.t sebelum sesuatu perbuatan. Contohnya sebelum makan, para muslimin dianjurkan agar menyebut nama Allah s.w.t. yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kerana Allahlah yang telah mengurniakan segala makanan serta rezeki kepada kita. Ketika hendak menduduki ujian contohnya, maka katakanlah dengan nama Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, maka Allah s.w.t. akan menolongnya untuk memperolehi kejayaan. Namun, dinasihati agar seseorang itu tidak hanya bergantung kepada Allah sahaja, usaha gigih yang berterusan adalah langkah yang harus diambil untuk membekalkan ilmu di dada. Allah menyeru umat-umat Islam agar menggunakan akal yang diberi untuk menuntu ilmu, malah menuntut ilmu itu hukumnya wajib. Maka di sini, seseorang itu tidak boleh hanya berharapkan dengan menyebut nama Allah, maka dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kita haruslah benar-benar memahami konsep beriman kepada Allah ini bukan bergantung 100% kepada Allah untuk sumber rezeki, sumber kejayaan, tetapi berusaha gigih untuk meraih keredhaan Allah dan berdoa untuk dikurniakan yang terbaik buat diri kita. Jika seseorang itu beriman kepada Allah, maka hidupnya akan dipenuhi dengan rasa nikmat, syukur dan kebahagiaan. Nikmat itu bukan diperolehi daripada kurniaan Allah yang berupa kesenangan sahaja, tetapi seseorang itu berasa puas, syukur dan nikmat setelah usaha mendapat keredhaan Allah dan telah dikurniakan kebaikan ke atas dirinya.
Beriman kepada Allah bukan sahaja mengingati Allah ketika susah, tetapi hendaklah setiap muslim itu membasahkan lidah dengan sentiasa menyebut nama Allah s.w.t., memuji Allah s.w.t. , kerana Allah terpuji zatNnya, terpuji sifatNya,terpuji kerena rahmatNya, terpuji kerana petunjukNya, terpuji kerana segala penentuanNya.
Dapat disimpulkan bahawa beriman kepada Allah menunjuk kepada tindakan sesuatu umat itu untuk mengenal Allah melalui nama dan sifat-sifatNya yang mulia, mengenal tanda-tanda kewujudan dan kebesaranNya di alam ini.

Beriman Kepada Malaikat
Allah telah menjadikan sejenis makhluk halus yang keadaan asalnya tidak boleh dilihat oleh manusia, bukan lelaki dan bukan perempuan. Hidup mereka sentiasa taat kepada perintah Allah tidak sesekali menderhakainya. Malah kejadian malaikat lebih awal daripada dijadikanNya manusia. Malaikat dijadikan oleh Allah daripada cahaya. Sabda Rasulullah s.a.w., yang diterjemahkan : “Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada api yang tidak berasap dan dijadikan nabi Allah, Adam sebagaimana yang diterangkan iaitu daripada tanah” (Hadis riwayat Muslim).
            Antara nama-nama dan tugas malaikat:
  1. Jibril    - Menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya untuk disampaikan kepada manusia
  2. Mikail  - Mengawal cekerawala termasuk matahari, bulan, bintang-bintang, hujan dan panas dan lain mengikut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
  3. Izrail    - Mencabut nyawa seluruh makhluk yang bernyawa apabila sudah sampai waktu yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
  4. Israfil   - Meniup sengkakala apabila tiba masanya
  5. Raqib   - Mencatit amalan baik yang dilakukan oleh manusia
  6. Atid     - Mencatit amalan jahat yang dilakukan oleh manusia
  7. Mungkar - Menyoal manusia di dalam kubur
  8. Nakir   - Menyoal manusia di dalam kubur
  9. Ridhwan - Mengawal syurga
  10. Malik   - Mengawal neraka

Antara tugas-tugas Malaikat juga adalah seperti:
1.      Membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul
2.      Bertasbih dan patuh dan sujud pada Allah
3.      Memikut Arsy
4.      Berdoa untuk orang-orang yang beriman
Peranan Malaikat di akhirat seperti memberi salam pada ahli syurga, mengazab ahli neraka dan seumpamanya.
Mengapakah umat Islam harus beriman kepada Malaikat?
Dengan beriman kepada Malaikat, seseorang individu itu akan sedar bahawa dia sentiasa diawasi oleh Malaikat, maka dengan itu, umat itu akan sentiasa menjaga tingkah laku yang berkelakuan baik, menjaga pertuturan tidak kira dimana jua berada. Seseorang umat Islam itu juga akan segera menginsafi dan tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kerana menyedari setiap kata yang dipertuturkan dan tingkah lakunya tidak akan terlepas daripada catitian Malaikat Raqib dan Malaikat Atid. Seseorang muslim itu akan sentiasa melakukan apa jua yang disuruh oleh Allah dan menghindar apa yang dilarang Allah supaya selamat di alam kubur kerana dia telah mengetahui bahawa apabila dia mati, dia akan ditanya dan diseksa oleh Malaikat dalam kubur.
Adalah wajib bagi sesiapa sahaja yang mengaku dirinya beriman untuk mengenal alam metafizik atau ghaib yang terdiri daripada alam malaikat dan alam jin serta syaitan. Termasuk juga alam roh.

Beriman Kepada Kitab
“Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (menurut agama Allah yang satuu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham), maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada yang engkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan.” (Surah al-Baqarah: 213)
Adalah kewajipan bagi setiap umat Islam untuk mempercayai bahawa Allah s.w.t. telah menurunkan beberapa buah kitab kepada rasul-rasulNya. Isi pengajaran kitab-kitab itu adalah mengandungi ajaran-ajaran mengenai amal ibadat untuk akhiran dan juga petunjuk-petunjuk untuk memperbaiki kehidupan manusia di dunia.
            Kitab-kitab Allah yang wajib bagi umat Islam kenali dan ketahui ialah:
  1. Zabur: diturunkan melalui Nabi Daud, dalam bahasa Qibti
  2. Taurat: diturunkan kepada umat Islam melalui Nabi Musa, dalam bahasa Ibrani
  3. Injil: diturunkan melalui Nabi Isa, dalam bahasa Suryani
  4. Al-Quran: diturunkan kepada umat Islam dan manusia sejagat sebagai petunjuk, diturunkan melalui Nabi Muhammas s.a.w., dan adalah dalam bahasa Arab. Al-Quran merupakan kitab terakhir sekali diturunkan oleh Allah dan penutup kepada segala kitab-kitab yang terdahulu.
Tiada seorang pun umat Islam yang terkecuali daripada tanggungjawab mengenal kitab-kitab yang diturunkan Allah sebagai sumber rujukan antara kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan keburukan, halal dan haram dan sebagainya.

Beriman Kepada Rasul
Erti Rasul dari segi bahasa ialah utusan yang menyampaikan sesuatu perutusan seseorang kepada orang lain. Dari segi istilah pula, Rasul bermakna lelaki utusan Allah yang menerima wahyu Allah untuk dirinya yang wajib disampaikan keapda umat manusia agar mereka dapat melalui jalan yang lurus dan diredhai Allah. Allah s.w.t telah mengutuskan beberapa orang rasul yang dipilihNya daripada jenis manusia yang cukup sempurna, maka adalah wajib bagi setiap umat Islam untuk beriman kepada rasulNnya. Rasul ditugaskan tuntuk membimbing manusia kepada kehidupan yang membawa kebahagian di dunia dan akhirat.
            Utusan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah Al-Quran. Sehingga masa kini, Al-Quran tetap asli tidak ada apa-apa perubahan dan tidak mampu dipinda oleh mana-mana manusia manakala kitab-kitan lain berubah dan tidak asli. Contohnya seperti kitab Injil yang telah dipinda dan diubah-ubah oleh beberapa orang ‘penulis’ kitab dari zaman ke zaman. Catitan asal kitab Injil telah dipinda sesuai dengan kefahaman semasa penulis dan juga penganut. Seringkali timbul pertikaian, syak dan ketidakpastian bagi penganut untuk mempercayai butir-butir dalam kitab Injil kerana setiap jilid mempunyai penyampaian dan rangkaian yang berbeza. Al-Quran sesuai untuk semua zaman dan tempat, sehingga kini ulama-ulama serta para pengaji masih lagi merujuk kepada Al-Quran untuk menerangkan sesuatu fenomena, contohnya sepeti Tsunami. Manusia yang ketakutan dan bimbang dengan ‘terlalu awal’ datangnya hari perhitungan, masing-masing merujuk kepada Al-Quran untuk mencari petunjuk dan jawapan. Tidak sampai seminggu  berita Tsunami bersiar di kaca TV, telah terdapat berdozen buku-buku ilmiah dan rujukan mengenai mengenai kejadia Tsunami, Hari Kiamat dan Tafsiran Al-Quran mengenai kejadian Tsunami. Inilah buktinya, Al-Quran sentiasa menjadi rujukan dan tidak lapuk dek peredaran zaman. Bahasa Al-Quran pula adalah bahasa Arab yang hidup pemakaiannya sepanjang masa, bahasa Arab sentiasa digunakan oleh ramai dan banyak negara di seluruh dunia.
            Mengapakah perlu beriman kepada kitab-kitab Allah?
            Manusia memerlukan agama yang satu, iaitu Islam, yang berasaskan akidah tauhid. Semua ini telah terkandung dalam semua kitab-kitab yang datang daripada Allah.  Agama yang datang daripada Allah adalah satu sahaja iaitu Islam yang terkandung dalam kitab-kitab yang datang daripada Allah mendahuluinya. Para Nabi telah menyampaikan agama Islam kepada manusia sejagat melalui kitab-kitab dari semasa ke semasa sehinggalah kitab Al-Quran yang menjadi penutup kepada semua kitab yang terdahulunya.
            Para Nabi yang diturunkan oleh Allah adalah Islam. Maka tidak ada percanggah antara al-Quran dan Taurat dan sebagaimnya, juga tidak ada pertentangan dengan Injil dan kitab-kitab lain. Setiap umat Islam wajib untuk mengenal para nabi dan rasul yang dipilih Allah bagi memimpin umat manusia ke arah kebenaran, tanpa mengira jenis kitab yang dianjurkan oleh nabi atau rasul tersebut.


Beriman Kepada Hari Akhirat
Bilakah hari akhirat itu akan berlaku? Apakah sempat bertaubat sebelum hari akhirat? Bagaimana hari akhirat itu melanda? Apakah tanda-tandanya hari akhirat bakal tiba? Begitulah antara persoalan yang sering diajukan oleh manusia. Sejak zaman sebelum kegemilangan Islam sehinggalah pada zaman moden ini, manusia sering memperkatakan tentang Hari Akhirat dan dunia setelah akhirat. Beriman kepada Hari Akhirat juga merupakan perkara yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Para ulama sering mengetengahkan isu Hari Akhirat, sebab beriman kepada Hari Akhirat boleh meyakinkan manusia sejagat bahawa adanya satu kehidupan duniawi dan hari perhitungan.
            Bagi umat Islam yang beriman kepada hari akhirat atau sekadar amaran kepada yang kufur, boleh dijelaskan bagi mereka 5 fasa hari akhirat:
  1. Pada masa datangnya hari akhirat seperti kehendak Allah s.w.t., maka terjadilah gempa bumi, di mana gunung-gunung menjadi debu, air laut mendidih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia mabuk dan pitam. Kemudian, musnahlah segala makhluk sama ada yang bernyawa mahupun tidak, hanya Allah yang tetap kekal.
  2. Pada hari akhirat itu juga terjadinya Hari Kebangkitan di mana manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan di padang Mahsyar.
  3. Apabila datangnya hari akhirat, akan diperlihatkan seluruh amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun perbuatan dan amal tersebut sebesar zarah.
  4. Hari menghisab di depan mahkamah keadilan Allah, di mana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiayaan.
  5. Hari keputusan di mana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalannya. Di sini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagi tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal soleh ditempatkan di syurga, dan bagi mereka yang kufur, ingkar dan banyak melakukan amalan kejahat akan ditempatkan di neraka.

Apakah Kepentingannya Untuk Beriman Kepada Hari Akhirat?
Dengan beriman kepada Hari Akhirat, seseorang umat itu boleh memperbaharui kesedarannya tentang hakikat adanya alam akhirat yang merupakan tempat manusia menerima balasan dan juga tempat yang kekal abadi untuk semua manusia. Beriman kepada hari akhirat juga boleh mempertingkatkan keimanan dengan merasai keagungan Allah – pemerintah dan penguasa serta pencipta alam, pencipta dan pemilikan hari akhirat dan segala isi kandungannya.
      Selain itu, beriman kepada hari akhirat juga dapat melembutkan hati manusia, kerana orang yang beriman kepada hari akhirat akan sentiasa mengingati mati dan Hari Akhirat. Dengan mengingati dan beriman kepada hari akhirat juga dapat menggalakkan umat Islam untuk melakukan ma’ruf, iaitu kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan.
Dengan beriman kepada hari akhirat, seseorang muslim itu tidak haruslah ragu-ragu tentang pembalasan yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Dan hanya dengan ilmu akidah seseorang muslim itu akan mencapai kejayaan dalam hidup di dunia dan mendapat  ganjarannya di akhirat kelak. Firman Allah dalan surah al-Anbiyaa ayat 94, maksudnya: “Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.”
Mengenal Hari Akhirat yang terdiri daripada peristiwa kebangkitan dari kubur, perbicaraan, pembalasan, syurga dan neraka adalah kewajipan setiap mukmin. Dengan beriman kepada Hari Akhirat, hidup seseorang mukmin itu akan menjadi lebih tenang dan tenteram.
Beriman Kepada Qada’ Dan Qadar
Qada’ dan Qadar bermaksud takdir. Yang baik atau sebaliknya. Takdir ataupun ketentuan Allah terhadap sekalian makhluk ciptaanNya khususnya manusia yang dijadikan khalifah di bumi. Setiap umat islam haruslah menerima dengan baik dan redha terhadap apa yang telah ditentukan dan ditakdirkan oleh Allah, kerana Allah Maha Adil dan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap makhlukNya. Apa yang telah Allah tentukan kepada seseorang itu adalah di luar pilihan manusia, dan segalanya itu adalah bukti kebijaksanaan dan keadilan Allah. Di sebalik setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin apa yang dirasakan perkara yang buruk kepada kita adalah lebih baik untuk kita dan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Dan di sinilah teruji akidah seseorang umat itu dengan kepercayaannya terhadap Allah, keimanannya terhadap kebesaran Allah dan keimannya terhadap qada’ dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
            “(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu.” (Surah al-Hadid, ayat 23)
Sebagai umat Islam yang menginginkan keredhaan Allah, kita haruslah bersabar sekiranya Allah takdirkan sesuatu yang buruk yang berlaku ke atas diri kita. Jika kita telah mengetahui dan yakin bahawa setiap yang timpa diri kita adalah perancangan dan ketentuan daripada Allah Yang Maha Esa, maka terjadinya peristiwa dalam hidup kita ini tidak akan membuat iman kita goyah. Allah Maha Adil, tidak ada keutamaan orang yang kuat ke atas yang lemah, juga tidak ada pengecualian orang yang kaya dari yang miskin. Ketika terjadinya sesuatu peristiwa itu, umat Islam haruslah mengetahui bahawa kejadian itu datangnya dari Allah s.w.t., manusia sebagai ciptaan Allah dan selama-lamanya adalah ciptaan Allah, sesungguhnya Allah Maha Mulia, pencipta yang tidak akan membebenakan manusia dengan bebanan yang tidak dapat ditanggung oleh seseorang itu, apatah lagi untuk menghancurkan ciptaanNya.
Mungkin sesuatu peristiwa yang timpa atas seorang muslim itu adalah perkara yang tragis dan buruk pada pandangan manusia, namun tujuan Allah takdirkan kejadian itu adalah baik dan mulia. Kerana ujian tersebut, selagi muslim itu berkeyakinan terhadap kemuliaan Allah dan cintanya Allah pada ciptaanNya, jika muslim itu dapat menangani peristiwa itu dengan penuh sabar dan sentiasa memohon perlindungan dan pengampunan daripada Allah, sentiasa ingat pada Allah s.w.t., maka ia dapat hidup dengan segala keberaniannya sebagai seorang insan.
Beriman kepada qada’ dan qadar juga memboleh seorang muslim itu hidup dengan segala kemanusiaannya tidak gentar dalam menghadapi pelbagai peristiwa, tidak takut terhadap sesuatu apapun juga, tidak gentar kerana ia tahu bahawa wajib adanya serta yang sebenarnya ada adalah Allah s.w.t.
Masyarakat yang beriman kepada qada’ dan qadar adalah masyarakat yang mempunyai jiwa yang stabil, walaupun setiap individu dalam masyarakat itu mempunyai bentuk kekuatan yang berbeza. Masyarakat yang menerapkan prinsip ini sedar dan mengetahui segala kejadian yang menimpa adalah daripada Allah, mereka dapat menerima dengan baik peristiwa tersebut dan tidak berduka cita dengan berlakunya sesuatu peristiwa tersebut, malah senantiasa berzikir memuji keEsaan Allah. Apabila sesuatu yang baik menimpa masyarakat tersebut, mereka bersyukur kepada Allah, namun tidak angkuh dan lupa diri.

PEMBINAAN AKIDAH
Setiap umat Islam haruslah memahami konsep Islam yang sebenarnya dan memahami konsep akidah secara khusus. Pembinaan akidah yang utuh memerlukan umat Islam tersebut membersihkan hati dengan cara meninggalkan dosa dan melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah. Manusia haruls sentiasa berjihad melawan nafsu dan syaitan untuk beriltizam dengan Islam. Untuk menghayati akidah dengan sebaik mungkin, adalah baiknya jika seseorang itu bolehbersama-sama dengan orang-orang yang soleh atau sentiasa mencari suasana yang baik dan terhindar dari perkara-perkara yang negatif. Sebagi hamba Allah, manusia juga haruslah sentiasa berdoa memohon pimpinan Allah dan sentiasa bertawakal kepada Allah.
            Iman atau akidah adalah harta yang sangat penting dan bernilai dan haruslan dijaga dengan baik oleh setiap mukmin. Iman bukanlah seperti harta yang boleh diwarisi atau dijual beli dan ditukar-tukar. Akidah adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dipelihara oleh manusia sejagat. Nabi Yaaqub a.s. sekalipun bernasabkan para Nabi dan memiliki keturuan juga di kalangan para Nabi cukup bimbang akan keselamatan akidah anak cucu baginda. Perkara ini ada diceritakan dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 133 yang bermaksud: “ (Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi) Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaaqub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).”
            Demi akidah, para Nabi dan rasul sanggup menghadapi pelbagai rintangan untuk memperjuangkannya dan menegakkannya. Dari Nabi Adam a.s. sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. semuanya telah berusaha memelihara akidah umat mereka agar tidak terpesong, tidak menyimpang ke jalan yang sesat.

Iman Bertambah Dan Berkurang?
Iman manusia sentiasa bertambah dan berkurang mengikut amalannya. Jadi, apakah perkara yang perlu dilakukan untuk meneguhkan iman? Perkara tunjang yang perlu manusia lakukan ialah melawan hawa nafsu. Hawa nafsu sentiasa menjadi musuh manusia. Selain itu, manusia juga haruslah mengosongkan hati daripada sifat-sifat tercela, contohnya seperti perasaan hasad dengki, berdendam dan sebagainya. Perasaan dan sifat-sifat tercela ini bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan antara manusia, juga tidak mendapat keredhaan Allah.
Manusia sejagat, umat Islam utamanya, haruslah membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat terpuji ini adalah seperti merendah diri, amanah, jujur dan sebagainya. Umpamanya, seseorang umat Islam harusla merendah diri walaupun telah banyak ilmu agama yang telah dipelajarinya. Selain daripada itu, manusia juga haruslah melahirkan keikhlasan berbakti dan berkorban semata-mata kerana Allah. Amalan-amalan sunat juga perlu diperbanyakkan agar keimanan kita boleh dipertingkatkan, insyaallah. Dengan bertafakur juga mampu mempertingkatkan keimanan seseorang. Bertafakur maknanya memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.
Namun, terdapat juga perbuatan-perbuatan menyeleweng yang boleh menyebabkan keimanan seseorang itu berkurangan. Contohnya seperti melalui percakapan,  ucapan dan perbuatan. Perkara ini boleh dilihat di kalangan yang munafik. Di depan orang-orang Islam, mereka berpura-pura baik dan beriman, tetapi bila bersama golongan kafir, mereka akan mengucapkan kata-kata yang menghina Islam itu sendiri dan membuat sesuatu yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Bukan sahaja secara zahiriah, tetapi juga melalui iktikad dalam hati juga boleh menyebabkan keimanan seseorang itu berkurang atau lebih memudaratkan, seseorang itu mungkin boleh tersesat dari agama.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “ Dia memberi ampun kepada sesia yang Dia kehendaki, Dia menyeksa sesiapa yang Dia kehendaki.” (Ali Imran, ayat 129) Ayat ini mejelaskan dengan terang sekali tentang sifat keadilan Tuhan, mutlak tidak ada sedikit pun pertentangan. Makna ayat ini bukan Allah s.w.t. berfirman bagi beberapa orang manusia itu ada orang-orang yang memperoleh petunjuk kemudian Allah berkata lagi kepada beberapa orang manusia bahawa mereka itu sesat. Demikianlah dikatakan tanpa ada pertimbangan serta fikiran yang terperinci. Namun jika kita ingin memahaminya kita harus mendalami dan memahami ayat-ayat yang tertentu, misalnya:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menunjuki kaum yang zalim.” (Al-Maidah, ayat 51)
Maksudnya, sebelum mereka berlaku zalim, mereka tidak mahu menerima petunjuk Allah. Jika manusia beriman kepada Allah s.w.t, maka dia berhak untuk memperoleh hidayah dari Allah. Ketika umat Islam beriman kepada Allah dan Islam, perintah Allah akan dituruti dan ditaatinya. Maka Allah akan menjelaskan kepada umat itu tentang hikmahnya. Dan ini merupakan hidayah bagi hati, walaupun seseorang individu tersebut mungkin kafir pada dahulunya. Hidayah di sini mempunyai dua erti, (i) hidayah bererti petunjuk ke atas jalan yang menuju kepada kebaikan; (ii) hidaya juga bermaksud menyampaikan dan memberi kemungkinan untuk melakukan. Hidayah dengan erti petunjuk menuju kebaikan telah disampaikan kepada seluruh manusia, samada yang beriman ataupaun yang kafir. Jadi orang yang mempercayai bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, maka seseorang itu dapat pergi kepadaNya dan mendengar dariNya, maka Allah akan memberikan hidayah kepada hatinya. Dimudahkanlah baginya untuk beribadah dan taat serta merasakan manisnya rahsia-rahsia ibadah.
Bagi mereka yang enggan mendengar, sentiasa menafikan dan mengetepikan ajaran yang dibawa oleh para nabi dan rasul utusan Allah, tentu orang itu tidak diberi petunjuk oleh Allah s.w.t. bahkan Allah s.w.t. menyesatkannya dan membuat hatinya tertutup Apa yang ada di dalam diri dan hatinya tidak dapt keluar dan apa yang ada pada luar perutnya tidak dapat masuk. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ada pun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) dari petunjuk itu.” (Surah Fusilat, ayat 17)
Kemudian Allah berfirman juga yang bermaksud, “Allah s.w.t. tidak menunjuki kaum kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 264). Allah tidak memberikan hidayah kepada mereka, tidak memudahkan bagi mereka untuk melakukan ibadah. Ini kerana selama seseorang manusia itu masih kafir terhadap Allah s.w.t., maka tidak sesuatupun yang dimudahkan baginya. Jadi, jelaslah firman Allah s.w.t., “Memberi keampunan bagi siapa yang Ia kehendaki dan memberi seksa bagi siapa yang Ia kehendaki”, bukanlah bererti yang mutlak namun ia dibatasi dengan ayat yang lain.
Umpamanya perjalan saya dalam mencari agama yang benar dan mendapat keredhaan Tuhan. Selama 16 tahun hidup sebagai golongan yang kafir, sentiasa merungut dengan ketentuan hidup, sentiasa bersedih dengan peristiwa-peristiwa yang melanda dan sentiasa berdendam pada kuasa ghaib kerana telah merampas orang yang  tersayang dari saya tanpa sebarang petunjuk ke mana mereka akan pergi dan apakah amalan mereka betul atau salah. Hidup dalam keluarga beragama Buddha selama 16 tahun, pada usia 12 tahun lagi saya telah mula mengesyaki ‘kebolehan’ berhala dan patung-patung yang disembah, apakah amalan nenek moyang saya itu di jalan yang benar? Mengapa menikmati rezeki seperti daging dan seumpanya boleh dikira berdosa? Padahal Tuhan telah menciptakan binatang-binatang ini untuk melengkapkan keperluan kehidupan manusia. Mengapakan perkahwinan adalah haram dalam konsep Buddha? Bagaimanakan manusia harus mewarisi generasi dan mewarisi agama jika diharamkan untuk bersama pasangan lelaki dan perempuan? Mengapakah patung yang digelar Tuhan itu berupa manusia? Apakah manusia itu sendiri boleh menjadi Tuhan pada suatu masa kelak? Dalam kitab Buddha terdapat terdapat beribu ‘jenis’ tuhan dan berjuta ‘tentera langit’. Terlalu banyak persoalan yang tidak dapat dijawab oleh pengamal-pengamal Buddha, keadaan ini telah membuktikan kepada saya, bahawa agama Buddha tersebut bukan agama, hanyalah kepercayaan yang jahil. Dan sesungguhnya tidak dapat difahami bagaiman sesuatu masyarakat tersebut boleh mengikuti ajaran tersebut tanpa diselidik dengan lebih terperinci? Padahal al-Quran telah diturunkan untuk memberi petunjuk kepada sekalian manusia. Mengapakah masih ada yang enggan mendekatinya, tetapi mendekati patung-patung yang pada hari akhirat kelak tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan dirinya sendiri apatah lagi pengikut-pengikutnya?
Tidak banyak masa dan pertimbangan yang diambil untuk meninggalkan agam Buddha ini setelah mendapati hati ini tidak tenang dan tidak mendapat jawapan yang sahih daripada buku-buku yang kononnya kitab Tuhan Buddha. Saya memberanikan diri untuk menyentuh agama Kristian, kerana di kampung saya cuma ada gereja Kristian dan kuil Buddha. Ibu saya pula adalah seorang penganut Kristian yang sangat setia. (Saya tidak gemar menggunakan alim untuk menjelaskan penganut yang setia dan percaya kepada agama serta ajaran yang selain daripada Islam, kerana alim bermaksud ‘dipercayai’, dan hanya umat Islam yang baik-baik sahaja sesuai digelar sebagi alim). Dalam pencarian ‘agama yang benar’, saya berpeluang mendekati agama Kristian. Namun, masalah utama telah timbul sebaik pada hari pertama saya mengenal Kristian. Tuhannya adalah Jesus, ataupun dikenali oleh cikgu-cikgu muslim saya, Jesus itu adalah Nabi Isa. Pada mulanya, saya tidak ingin mengambil berat tentang apa yang dikatakan oleh cikgu-cikgu di sekolah. Tetapi bila bertanya kepada ibu saya apakah nama Bible dalam bahasa Malaysia, ibu kata “Kitab Injil”. Memang sah, Jesus itu Nabi Isa, dan Nabi Isa membawa Kita Injil yang terkandungnya kalimah-kalimah daripada Tuhan yang dipercayai oleh orang Islam. Mengapakah penganut Kristian bergelar Nabi Isa sebagai ‘anak Tuhan’, tetapi masih menyembahnya? Apakah kesahihan kitab injil yang terdapat di pasaran kini? Adakah Kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa itu masih asli dan tulen? Mengapakah penganut Kristian menyembah Nabi Isa yang sama kejadiannya sebagai manusia sebagai Tuhan? Padahal mereka tahu bahawa Nabi Isa hanyalah pengutusNya. Merekalah orang-orang yang kafir,setelah Allah memberi petunjuk, tetapi mereka masih ingkar dan tidak mahu beriman kepada Allah.
Dengan keizinan Allah yang Maha Esa, Allah memberikan hidayah dan petunjuk kepada saya tidak lama kemudia, untuk mendekati agama Islam, untuk mengenal apa itu Islam. Perkara pertama yang diperkenalkan adalah Rukun Iman. 6 Perkara rukun Iman menjadi tiang untuk mengukur status seseorang insan itu beriman atau tidak, sebelum dibincangkan lebih lanjut lagi tentang Rukun Islam. Tuhan hanya satu, Tuhan tidak beranak dan tidak juga diperanakkan, Tuhan mencipta Alam ini, qada’ dan qadar adalah ketentuan Allah pada umat Islam. Allah sedia mengampuni hamba-hambanya yang bertaubat dan ingin berbalik ke jalan yang benar, begitulah kemuliaan dan kebesaran Allah. Segala hukum, petunjuk, amaran, cerita, ramalan dan amalan hidup telah tercatit dalam al-Quranur Karim. Tentang kejadian manusia, kenapa manusia dicipta, kenapa ditempatkan di bumi, sehinggalah persoalan hari akhirat, semuanya terdapat dapat al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya tiada agama yang benar dan selengkap Islam. Tiada Tuhan selain Allah sahaja yang layak disembah. Dan hanya kepada Allah kita berdoa dan bersyukur atas rahmatNya. Hanya pada Allah kita akan kembali. Dengan mengikuti petunjuk dan hidayah Allah, alhamdulillah, hati berasa tenang kerana semua jawapan telah terjawab.
Walaupun demikian, hati tidak pernah putus dari keluarga dan usaha untuk membantu keluarga untuk kembali kepada Allah sentiasa dijalankan. Daripada kakak kandung yang begitu terkejut dengan pengIslaman diri saya, sehinggalah dia sendiri menerima Islam dengan relanya. Sehinggalah adik kandung yang begitu kuat pegangan Kristiannya bertahun lalu dan enggan menyerah kalah dengan memegang kepada Bible yang kononnya masih lagi suci seperti Kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa, juga telah memeluk agama Islam pada tahun 2009. Namun, bukan semua ahli keluarga yang begitu mudahnya boleh menerima ajaranNya. Seperti firma Allah: “Sesungguhnya engkau tidak dapat menunjuki orang yang kamu cintai.” (Al-Qasas, ayat 56). Saya tidak mampu untuk memanamkan petunjuk dalam hati-hati mereka, dan hanya Allah sahaja yang berkuasa dan berhak untuk melakukan sedemikian.
Cara hidup sebelum beriman dan setelah beriman juga amatlah berbeza. Walaupun ibu tidak mahu menuruti ajaran Islam, tetapi dia cukup bangga dengan perubahan yang terdapat pada anak-anak gadisnya. Berlandaskan akidah, saya eratkan lagi hubungan keluarga, baik yang Buddha atau yang Kristian, bukan untuk menyamakan Islam dengan agama-agama kafir, tetapi semua ini adalah usaha untuk melembutkan hati mereka, supaya hati mereka terbuka dengan fahaman Islam. Kebanyakan individu kafir menyatakan Islam ini keganasan, terlibat dalam ajaran-ajaran sesat yang menakutkan seperti bomoh dan sebagainya. Di sinilah, dapatlah kita melihat impak negatif hasil daripada amalan terpesong segelintir umat Islam yang tidak meneliti tentang akidah dan mengamalkan ajaran yang jauh menyimpang daripada landasan akidah dan syariat.
Berbekalkan iman yang ada, alhamdulillah, hati lebih tenang dan lebih jelas dilihat ke mana hala tuju hakiki setelah dunia yang fana. Hati lebih tenang kerana adanya panduan yang benar dan lurus. Hidup lebih tenteram kerana iman kepada Allah dan redha dengan segala ketentuanNya. Kesyukuruan  yang diucapkan juga hanya untuk Allah ke atas segala nikmat dan sakit yang menimpa diri. Kini, bila saja jatuh sakit, tidak lagi merungut, tidak lagi rasa marah pada ‘kuasa ghaib’ kerana menyeksa diri. Kini lebih memahami, dunia ini hanya sementara, sakit itu boleh mengubat dan menghapus dosa, sakit itu juga satu peluang bagi diri kita lebih mendekati Yang Maha Esa.  
Maka haruslah kita bersyukur kerana telah diberi petunjuk olehNya, bersyukur kerena kita berada di pihak yang benar. Justeru itu, haruslah kita beramal dan meneguhkan iman kita, supaya kita tidak rugi di dunia juga di akhirat kelak.

PERANAN AKIDAH DALAM PEMBANGUNAN UMMAH
Akidah merupakan asas dalam kehidupan seseorang umah, Islam atau selainnya. Akidah adalah penentu dan pendorong hidup bagi seseorang manusia itu. Dengan akidah yang tebal di dada, seseorang itu tidak takut dengan caraban yang dihadapi, tidak pula gentar untuk berdepan dengan yang kafir. Sebelum kita menyelidik peranan akidah dalam pembangunan ummah dan pembinaan kualiti seorang muslim, perlulah dijelaskan terdahulu tentang kepentingan mempelajari ilmu akidah.
            Kepentingan akidah dan perjuangan mempertahankan keutuhan akidah ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. ditanya: Apakah amal yang paling utama? Rasulullah menjawab: Beriman keapda Allah dan RasulNya. Baginda ditanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad fi sabilillah.”

Akidah Melahirkan Muslim Yang Berkualiti Dengan Akhlak Yang Terpuji
Ilmu akidah perlu dipelajari supaya umat manusia terhindari daripada ajaran-ajaran sesat yang akan merosakkan akidah atau iman seseorang terhadap Allah s.w.t..Dengan mempelajari ilmu akidah juga mampu meneguhkan keimanan dan keyakinan kepada sifat-sifat kesempurnaanNya. Ilmu akidah adalah penting untuk memantapkan akidah seseorang supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan amalan-amalan yang boleh merosakkan akidah.
            Manusia juga haruslah sedar bahawa setiap amalan di muka bumi ini bakal berdepan dengan ‘audit dan timbangan amalan’ di akhirat kelak. Hisab dan timbangan amalan adalah perkara yang pasti akan semua manusia hadapi di akhirat kelak.
            Balasan syurga dan neraka juga harus diketahui oleh setiap manusia. Berdasarkan nas-nas al-Quran, telah ditunjukkan bahawa orang yang mempunyai amalan baiknya banyak sehingga memberatkan timbangan amalan baiknya, ia akan dimasukkan ke dalam syurga, manakala mereka yang sebaliknya akan dimasukkan ke dalam neraka.
            Antara kepentingan untuk mempelajari ilmu akidah adalah  supaya seseorang itu dapat mengeluarkan hujah-hujah yang boleh mematahkan hujah daripada pihak lawan yang cuba memesongkan akidah seseorang.
            Akidah juga mampu menyuntikkan semangat berjuang, menyuburkan daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam. Hal ini adalah kerana, iman yang tersimpul erat di dalam  hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras, melakukan kebajikan, membantu orang yang dalam kesusahan, membina kemajuan demi kebaikan segenap umat, menunaikan tanggungjawab kerana amanah Allah, sanggup berkorban demi mempertahankan agama dan sebagainya demi mengaut seberapa banyak pahala kebajikan dan keredhaan Allah s.w.t.
            Lihatlah mereka yang tidak mempunyai akidah atau telah berkurangan iman mereka, kualiti hidup mereka di dunia ini jelas kelihatan berkucar-kacir dan tidak teratur. Golongan ini mudah terjebak dalam masalah sosial dan jenayah kerana tipisnya iman di dada, dan tiada ilmu akidah sebagai petunjuk. Contohnya baru-baru ini seorang gadis bertudung yang bekerja di dua premis kedai di Shah Alam, dengan terang-terangan telah mencuri di kedai yang belum lagi satu hari bekerja. Apakah perbuatan dia hanya akan mencerminkan kurangnya iman dirinya? Atau perbuatan itu menunjukkan masyarakat sekarang ini, umat Islam terutamanya, tidak segan silu melakukan perkara yang haram dan tidak dibenarkan. Dan perbuatannya itu mencerminkan keruntuhan akidah umat pada zaman ini. Banyak juga yang terpapar dalam akhbar, pegawai kerajaan menerima rasuah, pegawai tertinggi pecah amanah, dan kebanyakan kes melibatkan umat Islam. Bagaimana kita hendak menunjukkan manisnya akidah kepada yang kafir dan saudara baru yang ingin mengenali Islam? Jika diri kita sudah terbabas dari landasan yang telah Rasulullah s.a.w. turapkan untuk kita? Bagi masyarakat Islam masa kini, yang penting, ialah kualiti hidup melalui perkiraan harta, bukannya lagi kualiti hidup dengan perhitungan akidah dan amal.
            Jika dibandingkan dengan kualiti hidup akhir zaman ini dengan kualiti hidup zaman Rasulullah s.a.w.,terdapat jurang yang amat menggerunkan kita sebagai umat Islam. Segala perbuatan yang terlarang, contohnya seperti liwat, gay dan lesbian. Perkara seperti ini telah diberi amaran sejak zaman Nabi Nuh lagi,namun pada zaman yang moden ini, semua amaran ini diketepikan demi nikmat dunia dan akidah yang terkubur dalam jiwa insan. Pada zaman Rasulullah s.a.w., walaupun hidup dalam serba kekurangan berbanding dengan zaman yang moden ini, tetapi kualiti hidup umat-umat Islam pada masa itu amat baik dan gemilang. Tidak gentar walau seorang pun umat Islam pada zaman itu semasa menentang yang kufur. Nabi tidak mengaku umat bagi yang tidak mengamalkan ilmu akidah. Begitu berat peranan akidah dalam hidup seorang muslim. Bukan untuk membebankan hidup umat Islam, tetapi untuk mencorakkan hidup yang lebih baik di dunia dan akhirat. Kerana akidah adalah petunjuk dan tunjang utama dalam diri seseorang yang mengaku dirinya sebagai Islam dengan dua kalimah syahadah.
            Ucapan dua kalimah syahadah tidak menunjukkan tingginya tingkatan iman seseorang, tetapi hanya menunjukkan diri seseorang itu mengaku dirinya sebagai seorang Islam. Hanya dengan amal akidah nya, maka seseorang itu layak dikatakan beriman.

KESIMPULAN
Konsep akidah adalah ajaran yang asas dan amat mudah untuk dipelajari dan difahami secara umum kepada semua lapisan manusia, sama ada yang baru sahaja ingin mengenali agama Islam, ataupun yang ingin mengamalkan akidah secara istiqamah. Masyarat yang mengamalkan konsep akidah yang betul akan melahirkan sebuah negara yang tinggi ilmu, amal dan akhlaknya.
            Setiap umat Isalam memang menginginkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan keselamatan serta perlindungan di akhirat kelak. Maka, hendaklah masyarakat Islam itu memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Pemeliharaan dan pengukuhan akidah hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, disirami dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari decemari oleh sebarangan serangan anasir dan gejala penyelewengan dan kesesatan. Di samping usaha-usaha mempertahankan kekuatan akidah Islam, para muslim juga haruslah sentiasa berdoa. Sabda Rasulullah s.a.w., “Doa adalah senjata orang mukmin, tiang kepada agama dan cahaya kepada langit dan bumi.”
            Akidah merupakan asas keapda kesejahteraan dan petunjuk dari Allah. Firman Allah yang menjelaskan fakta tersebut, “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk” (Surah al-Anaam, ayat 82).
Masyarakat Islam yang tidak mempunyai akidah yang kukuh akan mudah terpesing dan menyeleweng dari ajaran agama yang sebenar. Anggota dalam masyarakat yang tidak mengamalkan akidah juga merupakan orang yang tamak kerana terlalu cintakan harta dunia; pengecut kerana takutkan manusia daripada takutkan Allah Yang Maha Esa; bersikap liar kerana tiada pegangan agama dan tiada panduan hidup kerana enggan mematuhi ajaran-ajaran yang telah terdapat dalam al-Quran; tidak jujur kerana tidak mengenal dosa, orang seperti ini tidak mempercayai malaikat-malaikat Allah yang telah diutuskan untuk mencatat segala amalan manusia; dan masyarakat yang tidak mengamalkan ilmu akidah juga merupakan masyarakat pembawa pelbagai masalah dan kerosakan yang merugikan pelbagai pihak, masyarakat seperti ini tidak beriman kepada hari akhirat dan hari perhitungan di mana pada hari-hari tersebut segala amal baik dan jahatnya akan dipersoal dan balasan yang setimpal akan diberikan kepadanya.


RUJUKAN
1.     Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Apa Itu ISLAM?, PTS Islamika Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2008
2.      Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, Aqidah Seorang Mukmin, Jasmin Enterprise, 2007
3.   Abdul Hadi Awang, Inilah Akidah Muslim, PTS Islamika Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2007
4.      Sayyid Sabiq, Aqidah Islamyiah, Robbani Press, 2006

No comments:

Post a Comment

Semoga perkongsian ilmu ini diberkati.

Note: only a member of this blog may post a comment.